Suatu ketika
tatkala Rasulullah s.a.w. sedang bersiap
di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki
yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda
s.a.w.. Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah s.a.w. Amar ini berasal dari Bani
Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal
Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai
itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik
dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab,
"Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak
akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar.
Kaum Muslimin di
Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang
sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk
menerima cahaya Islam yang terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap
akan maju ke medan perang, dia segera menemui Rasulullah
s.a.w., menyatakan dirinya akan masuk Islam malah akan ikut
berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah
s.a.w. Pedangnya yang tajam
ikut dibawanya.
Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Amar
dengan sangat gembira, tambah pula rela akan maju bersama Nabi Muhammad s.a.w.. Tetapi orang ramai tidak
mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan
peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya. Bagaimana
Amar maju sebagai mujahid di medan peperangan. Dalam perang Uhud yang hebat itu
Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang
musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai
saatnya dia jatuh pingsan.




